-
Insurans menjauhi pesakit kronik
Pendapat : DR. MOHD ASRI AB. RAHMAN
Secara peribadi, saya berpendapat isu kos rawatan penyakit kronik tidak dapat diselesaikan dengan penyertaan dalam insurans kesihatan sebagaimana yang telah disuarakan oleh seorang pembaca di ruangan Forum, Utusan Malaysia 2 Ogos 2002.
Isu ini sebenarnya amat kompleks dan tidak semudah itu untuk menyelesaikannya. Kita semua maklum yang industri insurans adalah satu perniagaan yang berasaskan kepada risiko yang dihadapi oleh para pengguna. Kerana itu, pihak insurans misalnya tidak melindungi kemalangan yang dialami akibat sukan lasak, bencana alam, peperangan, rusuhan dan seumpamanya. Ini adalah kerana risiko berlakunya kemalangan amat tinggi dalam suasana sedemikian.
Kebanyakan polisi insurans melindungi pengguna apabila berlakunya kemalangan, sama ada mereka dirawat sebagai pesakit dalam atau luar. Perlindungan sedemikian berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja pembeli menjelaskan premium mereka. Tetapi perlindungan polisi perubatan/kesihatan terhadap penyakit-penyakit biasa adalah berbeza. Pengguna hanya akan dilindungi terhadap penyakit-penyakit tertentu setelah tamat `tempoh menunggu' selama sebulan. Pemegang polisi bertanggungjawab mengisytiharkan apa-apa penyakit yang sedang dihidapi semasa menyertai insurans itu.
Sepanjang tahun pertama, pemegang polisi hanya dilindungi terhadap penyakit-penyakit akut (acute) seperti jangkitan kuman, keracunan makanan dan penyakit-penyakit berjangkit. Penyakit-penyakit lain yang bersifat kronik tidak dilindungi, contohnya sakit darah tinggi (hypertension), kencing manis (diabetis mellitus), lelah (bronchial asthma), gastrik dan ulser (peptic ulcer disease), batu karang (urinary stones) dan buasir (haemorroids). Kos rawatan untuk penyakit-penyakit ini hanya ditanggung oleh syarikat insurans bermula dari tahun kedua seseorang itu memegang polisi.
Penyakit-penyakit yang berlaku sebagai komplikasi, akibat daripada penyakit yang telah sedia ada sebelum insurans dibeli juga tidak dilindungi. Contohnya ialah seorang pesakit yang mengalami serangan jantung (acute myocardial infarction) atau angin ahmar (stroke) yang disebabkan latar belakang pesakit yang menghidap sakit darah tinggi atau diabetis sebelumnya. Begitu juga seorang pesakit kencing manis yang mengalami komplikasi seperti kegagalan ginjal (renal failure) tidak berhak membuat tuntutan sekiranya penyakit kencing manis telah dihidapi sebelum polisi diambil.
Penyakit-penyakit yang berlaku disebabkan faktor-faktor keturunan (genetic), komplikasi berikutan penyakit sedia ada (pre-existing illness), kecacatan semula jadi (congenital diseases), kehamilan, perbuatan sengaja mencederakan diri sendiri (self-inflicted injury) dan penyakit kelamin tidak dilindungi oleh polisi.
Malangnya di kalangan golongan inilah terdapatnya ramai pesakit kronik yang memerlukan perbelanjaan rawatan yang bukan sahaja tinggi, malah berpanjangan selagi mereka masih hidup. Contohnya ialah pesakit leukaemia, thallasemia, sakit jantung congenital (congenital heart disease), cerebral palsy, kegagalan ginjal (renal failure), lemah jantung (heart failure), sawan (epilepsy), lelah dan angin ahmar.
Pesakit-pesakit yang mengalami serangan jantung, lemah jantung, kegagalan ginjal dan angin ahmar mungkin dilindungi oleh polisi mereka sekiranya ia berlaku pada tahun kedua pemilikan insurans atau tahun-tahun berikutnya. Tetapi malangnya apabila telah disahkan menghidap penyakit kronik dan kritikal, maka pihak syarikat insurans berhak untuk menamatkan atau tidak menyambung polisi pesakit untuk tahun berikutnya.
Ini bermakna seorang pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis contohnya, tidak lagi ditanggung pembiayaannya oleh syarikat insurans untuk tahun-tahun berikutnya.
Faktor umur juga penting. Ini kerana adalah sukar untuk mendapatkan insurans kesihatan apabila anda berumur 55 tahun ke atas. Ini disebabkan anda tidak layak memohon kerana faktor umur, atau anda telah menghidap beberapa jenis penyakit kronik yang menyebabkan anda tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Malangnya pada saat-saat inilah kita memerlukan perlindungan terhadap penyakit-penyakit kronik yang mula menyerang.
Bagi mereka yang menghidap penyakit kronik dan mempunyai sumber kewangan terhad, maka tidak ada tempat lain untuk mendapatkan rawatan selain daripada berkunjung ke hospital-hospital kerajaan. Malangnya, tidak kesemua jenis rawatan terdapat di sana, contohnya pembedahan rumit yang memerlukan rawatan pakar di hospital swasta, sama ada di negara kita atau di luar negara. Di sinilah banyak masalah timbul. Tidak dapat kita nafikan bahawa sesetengah daripada kita, lebih bernasib baik daripada sesetengah yang lain, kerana mendapat bantuan atau sumbangan mudah daripada orang ramai.
Saya ingin menjelaskan bahawa tujuan saya menulis ini bukan untuk tidak menggalakkan orang ramai memiliki insurans kesihatan/perubatan. Memiliki insurans tersebut adalah baik sekiranya anda mampu. Sebaliknya, tujuan saya adalah untuk menyatakan bahawa masalah kos rawatan penyakit kronik di negara kita tidak dapat diselesaikan dengan hanya dengan pemilikan insurans, walaupun setiap orang di kalangan kita memiliki polisi insurans kesihatan.
Terdapat satu ruang kosong yang tidak dapat dipenuhi oleh syarikat insurans yang menjalankan perniagaan berkonsepkan risiko atau kebarangkalian. Kita perlu faham yang syarikat-syarikat ini adalah bukan badan kebajikan. Di sinilah kita merasakan pihak berwajib perlu berperanan membantu mereka yang tidak bernasib baik ini. Perlu ada satu sistem pengurusan teratur yang boleh diharapkan. Ia mungkin perlu mempunyai satu panel penilai yang diharapkan berwibawa, adil serta bebas daripada pengaruh pihak ketiga.
- DR. MOHD ASRI AB. RAHMAN, Kota Bharu, Kelantan.
Sumber : Utusan Malaysia, Rabu 7 Ogos 2002
Laman Utama